Selasa, 29 Mei 2012

Cerita Katak Yang Suka Berlagak


KATAK YANG SUKA BERLAGAK
Rika ialah seekor katak yang besar. Ia tinggal di sebuah kolam bersama-sama dengan katak-katak yang lain yang lebih kecil daripadanya. Ini menyebabkan Rika suka berlagak. Ia menganggap dirinya paling hebat.
“Lihat, akulah haiwan yang paling besar di dalam kolam ini!” kata Rika dengan sombongnya. Rika menganggap dirinya ketua. Katak-katak lain dikerah mencari makanan untuknya.
Pada suatu hari, katak-katak itu tidak membawa makanan untuk Rika. “Tuan, terdapat anjing  yang besar di tepi kolam. Kami takut untuk keluar mencari makanan,” kata salah seekor katak.
“Apa, ada haiwan yang lebih besar daripada aku?” jerit Rika dengan marah. “Betul, haiwan itu lebih besar daripada tuan!” jawab katak itu.
Rika berasa sungguh marah. Ia melompat ke atas batu yang besar di tepi kolam. Kemudian dia menghirup udara dengan banyaknya. Perutnya mula kelihatan menggelembung. “Lihat! Adakah haiwan itu lebih besar daripada aku?” tanya Rika.
“Ya, haiwan itu lagi besar!” kata katak-katak itu. Rika semakin tidak puas hati. Rika terus menghirup udara. Perutnya semakin membesar seperti sebiji belon.
Namun Rika masih tidak puas hati. Ia masih mahu kelihatan lebih besar daripada anjing itu. Tiba-tiba...”Bang!!” Bunyi yang kuat itu mengejutkan katak-katak yang lain. Mereka melihat perut Rika pecah. Akhirnya Rika mati.

~TAMAT~